IBADAH AQIQAH

  1. Apa itu Aqiqah?
    Aqiqah ialah ibadah sembelihan haiwan ternakan seperti kambing yang disembelih pada hari ke-7 kelahiran bayi. Sekiranya anda terlepas melaksanakannya pada hari ke-7 kelahiran bayi, maka hendaklah disembelih pada hari ke-14. Jika tidak, anda boleh dilaksanakan pada hari ke-21. Demikianlah seterusnya tiap-tiap 7 hari berikutnya. Hal ini berdasarkan pendapat Syeikh Muhammad Arsyad Al-Banjari dalam kitab karangannya Sabil Al-Muhtadin.
  2. Apakah hukum melaksanakan ibadah Aqiqah?
    Hukum melaksanakan ibadah Aqiqah ialah Sunat Mu’akkad iaitu sunat yang sangat dituntut untuk melakukannya berdasarkan pendapat yang kuat dalam mazhab As-Syafie.
  3. Adakah Aqiqah itu amalan tradisi atau adat resam orang melayu?
    Tidak. Aqiqah bukanlah amalan tradisi atau adat resam orang melayu, bahkan ia merupakan ibadah dan sunnah Nabi SAW, malah baginda sendiri melaksanakannya ke atas cucundanya iaitu Hassan & Husain R.Anhuma.
  4. Kenapa perlu melaksanakan Aqiqah?
    Kerana ibadah Aqiqah merupakan suatu tanggungjawab ibu bapa untuk menunaikan hak terhadap anak yang dilahirkannya.
  5. Siapakah yang bertanggungjawab untuk melaksanakan Aqiqah?
    Ibadah Aqiqah adalah tanggungjawab wali iaitu ibu bapa pada anak tersebut. Jika sekiranya ibu bapa telah meninggal dunia dan belum sempat meng-Aqiqah-kan anaknya, maka datuk, bapa saudara atau penjaga anak tersebut bertanggungjawab untuk melaksanakannya.
  6. Bolehkan melaksanakan Aqiqah untuk dirinya sendiri setelah dewasa?
    Boleh, jika ia berkemampuan dan sudah mempunyai pendapatan tetap, kerana Nabi SAW juga melaksanakan Aqiqah untuk dirinya sendiri selepas dilantik menjadi nabi iaitu ketika usia baginda 40 tahun.
  7. Apakah hikmah dan kelebihan Aqiqah?
    • Menzahirkan rasa syukur yang tidak terhingga sempena kelahiran bayi.
    • Menghebahkan berita tentang kelahiran anak supaya tidak timbul prasangka.
    • Mensyukuri nikmat mendapat zuriat daripada darah daging sendiri.
    • Bayi selamat dilahirkan dalam keadaan sihat dan sempurna.
    • Menghindari bayi daripada terkena penyakit.
    • Menghindari anak daripada gangguan syaitan.
    • Mampu menyokong tumbesaran dan kecerdasan minda anak-anak.
    • Menghidupkan sunnah Nabi SAW ketika menyambut kelahiran bayi.
    • Menghindari amalan bida’ah seperti lenggang perut dan baby shower atau amalan yang tidak bertepatan dengan sunnah Nabi SAW.
    • Mengeratkan hubungan silaturahim dengan mengadakan kenduri Aqiqah.
    • Menghindari sifat kedekut dengan memberi makan kepada fakir miskin.
    • Menggandakan pahala amalan sunat (melaksanakan Aqiqah di Bulan Ramadhan)
  8. Apakah jenis haiwan Aqiqah untuk anak lelaki dan perempuan?
    Sunat menyembelih 2 ekor kambing untuk Aqiqah bayi lelaki, dan seekor kambing untuk Aqiqah bayi perempuan.
  9. Adakah Al Khairi Qurban & Aqiqah melaksanakan bahagian lembu untuk Aqiqah?
    Ya, Al Khairi Qurban & Aqiqah ada melaksanakan Aqiqah pada bahagian lembu.
  10. Bagaimana untuk menguruskan daging Aqiqah?
    Daging Aqiqah sunat dimasak terlebih dahulu untuk dimakan bersama. Ini bermaksud daging tersebut tidak diagihkan secara mentah, seperti mana yang dilakukan terhadap daging qurban. Tetapi di Al Khairi Qurban & Aqiqah, tidak semua daging Aqiqah tersebut dimasak, ada yang diagih secara mentah kepada penduduk tempatan supaya lebih ramai menerima agihan daging Aqiqah tersebut.
  11. Bolehkah saya melaksanakan Aqiqah untuk anak lelaki saya hanya dengan seekor kambing dahulu, kemudian seekor lagi saya akan sempurnakannya pada masa yang lain?
    Boleh, jika anda tidak mampu melaksanakan Aqiqah dengan 2 ekor kambing sekaligus.
  12. Anak saya meninggal dunia dalam kandungan dan meninggal dunia sebelum sempat hari ke-7 kelahiran. Perlukah saya melaksanakan Aqiqah untuknya?
    Harus melaksanakan Aqiqah untuk bayi yang telah meninggal dunia sama ada ia meninggal dalam kandungan ataupun setelah melebihi tempoh 4 bulan atau ia meninggal dunia sebelum sempat hidup pada hari ke-7 kelahiran, sebagai tanda syukur dikurniakan kesempatan memiliki zuriat walaupun hayatnya tidak panjang. Hukum melaksanakannya harus semata-mata, tidak disunatkan sepertimana tuntutan sunat mu’akkad ke atas pelaksanaan Aqiqah pada hari ke-7 kelahiran bayi.
  13. Haiwan Aqiqah jantan atau betina?
    Jantina haiwan bukanlah menjadi syarat samada pelaksanaan Aqiqah itu sah atau tidak.
  14. Berapakah berat dan saiz haiwan kambing Aqiqah? Dan berapa had umur haiwan sembelihan untuk Aqiqah?
    Saiz haiwan kambing mengikuti piawaian & syarat haiwan yang boleh diAqiqahkan iaitu:

    • Cukup usia bagi haiwan kambing – 2 tahun.
    • Kambing biri-biri yang berusia 8 bulan hingga setahun ataupun sudah bersalin gigi.
    • Tidak cacat & tidak mempunyai penyakit.
  15. Dimanakah tempat pelaksanaan Aqiqah?
    Al Khairi Qurban & Aqiqah melaksanakan ibadah Aqiqah di dalam dan luar negara. Antara negara luar yang menjadi tempat pelaksanaan ialah di Saudi Arabia, Uganda, Kemboja, Indonesia, Bangladesh dan Thailand.
  16. Bolehkah mendapatkan gambar perlaksanaan Aqiqah?
    Ya, kami ada menyediakan bukti gambar dan video penyembelihan aqiqah.
  17. Siapakah yang akan urus dan memantau proses sembelihan Aqiqah di luar negara? Siapakah yang memastikan haiwan Aqiqah itu mematuhi syariat?
    Kakitangan & Urusetia Al Khairi Qurban & Aqiqah sendiri bersama wakil dari luar negara yang telah dilantik secara rasmi untuk menguruskan pelaksanaan Aqiqah di luar negara. Segala proses dan pelaksanaannya bermula daripada pemilihan haiwan Aqiqah, sembelihan dan agihan adalah sentiasa dipantau oleh pegawai kami yang berpengalaman dan berkelayakan.
  18. Daging Aqiqah dimasak atau diagih mentah?
    Kebiasaannya daging Aqiqah akan diagihkan secara mentah. Jika anda ada keperluan untuk menganjurkan sesuatu program, maka sebahagian daging tersebut akan dimasak.