Haji Tamattu’ & Syarat Dam

  1. Apakah itu Dam?
    Dam dari segi bahasa bermaksud darah. Dari segi istilah syarak pula, ia membawa maksud denda yang diwajibkan kerana melakukan perkara larangan semasa melakukan haji atau meninggalkan perkara yang diwajibkan.
  2. Apakah sebab yang diwajibkan dam?
    • Melanggar pantang larang dalam Ihram.
    • Meninggalkan perkara-perkara yang wajib dalam ibadat haji atau umrah.
    • Mengerjakan Haji Tamattu’ atau Haji Qiran, menurut syarat-syaratnya.
    • Berlaku Ihsar bagi orang yang berniat ihram.
    • Melanggar Nazar semasa mengerjakan haji.
    • Luput Wuquf di Arafah.
    • Meninggalkan Tawaf Wada.
  3. Apakah larangan-larangan yang patut kita jauhi semasa mengerjakan Haji?
    • Menutup kepala atau sebahagian daripadanya bagi lelaki, seperti memakai songkok, serban dan sebagainya tetapi tidak menjadi larangan sekiranya berteduh di bawah pokok atau payung.
    • Memakai pakaian bersarung sama ada berjahit atau sebagainya bagi lelaki seperti seluar, baju kemeja dan sarung kaki.
    • Menutup muka bagi wanita.
    • Memakai sarung tangan.
    • Memakai bau-bauan pada badan atau pakaian atau pada makanan, minuman atau menyedut ke dalam hidung.
    • Memakai minyak rambut pada kepala atau janggut.
    • Menanggalkan rambut atau menghilangkan mana-mana bulu pada anggota badan.
    • Mengerat atau membuang kuku.
    • Memotong, menebang atau mencabut pokok atau tumbuhan di Tanah Haram.
    • Memburu binatang buruan yang halal dimakan atau membinasakannya sama ada di Tanah Haram atau di Tanah Halal.
    • Bersetubuh.
    • Melakukan perkara pendahuluan bersetubuh seperti bercium, berkucup-kucupan atau berpeluk yang menaikkan nafsu syahwat.
    • Akad nikah sama ada ijab atau qabul untuk diri sendiri atau mewakili orang lain.
  4. Bolehkah individu tersebut membayar dam di Malaysia sekiranya individu itu masih belum melakukan ibadah tersebut?
    Boleh. Adalah diharuskan dan digalakkan untuk membayar dam pada kadar yang telah ditentukan sebelum sampai di Tanah Haram. Dengan syarat, haiwan itu perlu disembelih dan dilaksanakan di dalam kawasan Tanah Haram dan bukan di tempat lain.
  5. Apakah syarat-syarat dikenakan dam bagi orang yang mengerjakan Haji Tamattu’?
    • Dia bukan daripada penduduk Mekah.
    • Dia tinggal di tempat yang jauhnya dua marhalah atau lebih dari Tanah Haram.
    • Dia mengerjakan Haji dan Umrah dalam bulan-bulan Haji pada tahun yang sama.
    • Dia tidak berniat ihram Haji di Miqat bagi penduduk negerinya atau bagi penduduk dari arah mana dia datang masuk ke Tanah Haram untuk mengerjakan Haji
    • Dia tidak berniat Ihram Haji dari tempat yang jaraknya 2 marhalah atau lebih dari Tanah Haram.
  6. Mengapakah terdapat perbezaan harga bagi sembelihan seekor kambing untuk Pakej Qurban dengan Pakej Dam dan Pakej Aqiqah?
    Sembelihan kambing untuk Pakej Qurban hanya dilaksanakan pada Hari-hari Tasyrik (hari ke-11, 12 dan 13 bulan Zulhijjah) sahaja di mana permintaan sangat tinggi, manakala sembelihan kambing bagi Pakej Dam dan Pakej Aqiqah dilaksanakan berperingkat sepanjang tahun.