Korban nazar ialah apabila seseorang itu mengatakan bahawa jika dia mendapat apa yang dihajatinya dia akan menyembelih haiwan korban, maka wajiblah ke atasnya menunaikan nazarnya itu. Bahkan Imam Nawawi menyatakan bahawa apabila telah terlewat hari yang ditentukan untuk penyembelihan korban dan ternyata saudara terlupa untuk menyembelih korban yang dinazarkan itu, maka wajiblah bagi orang yang bernazar tadi menyembelihnya ketika dia teringat, walaupun telah berlalu waktunya.
Secara ringkas, nazar itu mempunyai lafaz-lafaz tertentu. Oleh yang demikian, adalah sah nazar seseorang itu dengan lafaz, sama ada dengan perkataan ‘nazar’ itu sendiri ataupun dengan mewajibkan sesuatu perkara kebaikan ke atas diri. Oleh itu, tidak sah nazar seseorang itu dengan hanya semata-mata berniat di dalam hati tanpa adanya lafaz. Selama mana tidak dilafazkan, maka nazar itu tidak sah dan tidak wajib ditunaikan. Sebaliknya, sah nazar itu dengan dilafazkan sahaja walaupun tanpa niat di dalam hati.