1. Apakah pengertian Qurban?

Qurban berasal dari perkataan bahasa Arab. Ia juga disebut sebagai al-udhiyyah yang bererti binatang sembelihan seperti unta, lembu, dan kambing yang disembelih pada hari raya AidilAdha dan hari-hari tasyriq (11, 12, 13 zulhijjah) sebagai bentuk ibadah yang mendekatkan diri kepada Allah.

  1. Apakah hukum melakukan ibadah Qurban?

Ada sebahagian pandangan yang mewajibkan ibadah Qurban. Antaranya adalah pandangan daripada mazhab Hanafi. Berdalilkan hadith dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesiapa yang memiliki kemampuan tetapi tidak menyembelih Qurban, janganlah mendekati tempat solat kami.” [HR. Ahmad, Ibnu Majah dan Al-Hakim mensahihkannya].

Namun, majoriti ulama’ bersepakat bahawa hukum ibadah Qurban adalah Sunat Muakkad (sunnah yang sangat dituntut).

  1. Siapakah golongan yang dianjurkan untuk melakukan ibadah Qurban?
  • Orang islam
  • Merdeka
  • Mencapai akil baligh
  • Berakal ; qurban tidak diperintahkan kepada orang gila.
  • Berkemampuan ; orang yang mempunyai lebihan dari wang belanja keperluan diri dan tanggungan (ahli keluarga).

  1. Apakah kelebihan dan hikmah melakukan ibadah Qurban?
  • Menguji kekuatan iman orang yang berqurban.
  • Mendidik diri agar tidak bersifat terlalu sayangkan harta dan kedekut untuk keluarkan atas jalan Allah.
  • Berkongsi nikmat pemberian Allah s.w.t dengan golongan yang kurang bernasib baik.
  • Memberi kesedaran kepada masyarakat tentang syiar Islam iaitu Qurban.

  1. Apakah perbezaan Qurban dan Aqiqah?

Kedua-dua ibadah Qurban dan Aqiqah hukumnya sunat muakkad (sunnah yang sangat dituntut). Perbezaannya ;

  • Aqiqah adalah sebagai tanda kesyukuran kita kepada Allah kerana telah mengurniakan cahaya mata.
  • Qurban pula merupakan ibadah tanda kesyukuran atas segala pemberian rezeki yang lebih bersifat umum.

Aqiqah tidak terikat pada masa tertentu, sedangkan qurban dilakukan pada masa-masa tertentu, iaitu selepas solat dan khutbah Hari Raya ‘Aidil Adha dan hari-hari tasyriq (11,12,13 Zulhijjah).

  1. Apakah jenis haiwan yang lebih afdhal untuk disembelih Qurban?

Keutamaan bagi sembelihan Qurban adalah haiwan yang mempunyai daging lebih banyak. Jika diikutkan turutan, Unta seekor adalah lebih afdhal, diikuti Lembu seekor, dan seterusnya Kambing.

Jika dipecahkan kepada bahagian daging, afdhal bermula seekor Kambing, sebahagian Unta dan seterusnya sebahagian Lembu.

 

  1. Apakah jenis haiwan yang dibolehkan untuk ibadah Qurban?

Haiwan tersebut mestilah dari kategori haiwan ternakan yang jinak seperti ;

  • Kibas, biri-biri
  • Kambing
  • Lembu, Kerbau
  • Unta

  1. Berapakah umur minima bagi haiwan yang hendak dijadikan sembelihan Qurban?
  • Kambing, kibas, atau biri-biri perlu melebihi satu tahun
  • Lembu, lebih dua tahun
  • Unta, lebih lima tahun

  1. Bolehkah saya berkongsi dengan orang lain untuk Qurban seekor lembu?

Bagi sembelihan seekor lembu ataupun unta, ianya boleh dikongsikan kepada 7 bahagian. Ini berdalilkan hadith daripada Jabir bin Abdullah RA :

نَحَرْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَامَ الْحُدَيْبِيَةِ الْبَدَنَةَ عَنْ سَبْعَةٍ وَالْبَقَرَةَ عَنْ سَبْعَةٍ

Maksudnya: Kami telah melakukan korban bersama-sama Rasulullah SAW pada tahun Hudaibiyah dengan unta yang dikongsi dengan 7 bahagian dan lembu yang dikongsi dengan 7 bahagian.[HR Muslim, Abu Daud & Al-Tirmizi]

  1. Bolehkah digabungkan niat Qurban dan Aqiqah bagi setiap bahagian pada haiwan sembelihan yang sama?

Ada khilaf dikalangan ulama’ dalam isu isytirak (kongsi niat) ini. Pendapat al-Syafieyyah membenarkannya. Berdasarkan pandangan Ibn Hajar al-Haitami :

أَمَّا لَوْ ذَبَحَ بَدَنَةً أَوْ بَقَرَةً عَنْ سَبْعَةِ أَسْبَابٍ مِنْهَا ضَحِيَّةٌ وَعَقِيقَةٌ وَالْبَاقِي كَفَّارَاتٌ فِي نَحْوِ الْحَلْقِ فِي النُّسُكِ فَيُجْزِي ذَلِكَ

Maksudnya: “Sekiranya disembelih unta atau lembu untuk 7 bahagian bagi sebab-sebab darinya untuk korban dan aqiqah manakala bakinya untuk kaffarat bagi bercukur ketika  ibadah haji makan sah hukumnya..” [Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra]

Namun, jika berkemampuan maka sebaiknya keluar daripada khilaf dengan mengasingkan setiap satu daripada ibadah tersebut tanpa berkongsi.

  1. Saya hanya berkemampuan untuk Qurban seekor Kambing. Bolehkan saya berkongsi dengan ahli keluarga yang lain?

Hukum ibadah Qurban ialah Sunat Muakkad (sunnah yang digalakkan) yang dianggap sunat kifayah, yakni jika ramai ahli dalam sebuah rumah maka memadai seorang saja melakukan ibadah qurban dan pahalanya dikongsi bersama. Berdalilkan hadith Aisyah r.a, Rasulullah s.a.w berqurban dua ekor kibasy dan bersabda :

بِاسْمِ اللهِ، اللهُمَّ تَقَبَّلْ مِنْ مُحَمَّدٍ، وَآلِ مُحَمَّدٍ، وَمِنْ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ

Maksudnya: Dengan nama Allah. Ya Allah! Terimalah (qurban ini) daripada Muhammad, keluarga Muhammad, dan daripada umat Muhammad.

Berkata Imam al-Nawawi:

“Ulama’ berpandukan hadith ini bagi membenarkan ibadah qurban seseorang itu bagi dirinya dan keluarganya, dan pahala itu dikongsi oleh dirinya dan ahli rumahnya. Inilah pandangan mazhab kami (Syafieyyah) dan jumhur, sedangkan dianggap makruh oleh al-Thauri, Abu Hanifah dan sahabat-sahabatnya.”[al-Minhaj]

Tetapi sebaiknya jika dapat dilakukan sembelihan Qurban secara bersendirian tanpa berkongsi, itu adalah lebih baik.

  1. Bolehkah jika saya melakukan Qurban buat orang yang telah meninggal dunia?

Ulama’ berselisih pendapat di dalam soal ini.

Sebahagian pandangan Syafieyah mengatakan tidak sah Qurban buat si mati melainkan jika arwah telah berwasiat untuk dilakukan Qurban bagi pihaknya.

Sebahagian pandangan lagi membolehkan orang yang masih hidup untuk lakukan Qurban buat si mati dan sampai pahalanya juga buat si mati. Ini adalah pandangan jumhur (sepakat) Ulama’, merangkumi sebahagian Syafieyah, Hanafiyah, Malikiyyah serta Hanabilah.