SOALAN

Bolehkah seseorang mewakilkan pihak tertentu melaksanakan korban bagi pihaknya di tempat lain?

JAWAPAN

Telah menjadi suatu amalan umat Islam di mana-mana bahawa mereka mewakilkan penyembelihan korban kepada pihak tertentu, sama ada pihak masjid, tukang sembelih atau syarikat tertentu seperti yang berlaku di Makkah al-Mukarramah pada musim Haji. Maka mewakilkan penyembelihan korban kepada pihak lain adalah suatu yang dibenarkan oleh agama bagi memudahkan amalan dan budaya tersebut diamalkan oleh umat Islam seluruhnya.

Dalam kitab I’anah ath-Thalibin: 2 / 381, Asy-Syeikh Muhammad bin Sulaiman al-Kurdi pernah ditanya:

“Sudah menjadi kebiasaan orang-orang negeri Jawi (Kepulauan Melayu) berwakil kepada seseorang untuk membeli na’am (seperti lembu dan kambing) di Makkah untuk dijadikan aqiqah dan korban, dan penyembelihannya dilakukan di Makkah, sedangkan orang yang hendak beraqiqah atau berkorban itu berada di negeri Jawi, maka adakah sah perbuatan sedemikian atau tidak? Mohon fatwakan kepada kami.”

Jawapan Asy Syeikh : “Ya! Sah yang demikian itu dan harus berwakil membeli binatang korban dan aqiqah yang begitu juga untuk menyembelihnya sekalipun di negeri yang bukan negeri orang yang berkorban dan beraqiqah itu.”

KONGSIKAN